Pandangan falsafah Makna hidup

Nilai sebagai makna

Oleh sebab teori-teori mengenai nilai bertujuan menjawab soalan "Apakah yang bernilai dalam hidup?", ia merupakan teori makna hidup: ahli-ahli falsafah yang agung seperti Socrates, Plato, Aristotle, Descartes, Spinoza, Ayn Rand dan lain-lain lagi mempunyai pandangan yang jelas tentang jenis kehidupan yang terbaik, iaitu yang lebih bermakna.

Pandangan ateis

Rencana utama: Ateisme

Dengan erti kata yang sebenarnya, "atheisme" merupakan kepercayaan bahawa tuhan ataupun kuasa ghaib tidak wujud dan oleh demikian, alam semesta dan manusia bukan dicipta olehnya. Atheisme berkait dengan salah tiga daripada lima tafsiran tentang persoalan makna hidup:

  • "Apakah asalnya hidup?"
  • "Apakah sifatnya hidup (dan alam semesta di mana kita hidup)?"
  • "Apakah tujuannya hidup ataupun tujuan dalam kehidupan?"

Oleh sebab mereka tidak percaya bahawa tuhan-tuhan ada kena-mengena dengan hidup, kebanyakan ateis percaya bahawa hidupan berkembang dan bukannya dicipta. Disebabkan ketiadaannya tuhan-tuhan di alam semesta, sifatnya hidup tertinggal kepada kita untuk menentukannya dengan cara yang saintifik, dan kita sendiri terpaksa memastikan tujuan hidup kita.

Walau bagaimanapun, "atheisme" merupakan istilah yang relatif. Kebanyakan orang akan menganggapkan diri sebagai ateis terhadap tuhan-tuhan Babylonia, Egypt, Yunani dan Roman. Kebanyakan orang Kristian, Yahudi dan Islam juga merupakan ateis terhadap agama Timur seperti agama Buddha, Hinduisme dan Taoisme bagi alasan yang sama, dan sebaliknya dengan penganut Buddha, Hindu dan Taoisme berhubungan dengan agama-agama Barat. Walaupun "ateis" biasanya digunakan untuk sesiapa yang tidak percaya kepada Tuhan ataupun tuhan-tuhan yang digambarkan oleh mana-mana satu daripada agama-agama ini, ateis-ateis ini juga menuntut bahawa agama adalah mitologi yang bodoh dan nyatanya direka.

Kebanyakan ateis menganggapkan diri sebagai agnostik dari segi persoalan wujudnya atau tidaknya kuasa ghaib walaupun mereka tidak percaya kepada agama-agama sezaman. Mereka mengemukakan alasan bahawa kewujudan atau tidak kuasa tersebut tidak dapat ditentusahkan, sedangkan kami boleh melihat pengaruh usaha manusia dengan terang tentang penciptaan dan pengembangan pelbagai mitologi di sepanjang sejarah (termasuk agama-agama sezaman).

Oleh sebab ateisme ditakrif dengan ketiadaannya tuhan, "ateis" selalunya ditakrifkan dengan apa yang mereka tidak percaya dan bukan dengan apa yang dipercayai mereka. Dalam konteks ini, kebanyakan orang yang tidak mempercayai kepada tuhan berpendapat bahawa "ateisme" merupakan label yang digunakan untuk menghina mereka oleh penganut teisme. Dengan demikian, ramai ateis menganggap ateismenya tidak beberapa penting kepada kedudukan falsafah utama mereka, dan lebih suka ditakrif dengan apa yang dipercayai sebenarnya. Ateisme merupakan sebahagian daripada falsafah-falsafah dan teori-teori asal usul yang lain, termasuknya evolusionisme, eksistensialisme, Darwinisme, humanisme, nihilisme dan humanisme trans. Sekiranya tiada Tuhan, makna hidup tertinggal kepada kita untuk mencarikan ataupun mentakrifkannya.

Pandangan eksistensialis

Rencana utama: Eksistensialisme

Arthur Schopenhauer, seorang ahli falsafah abad ke-19 memberikan jawapan yang suram dengan penentuannya bahawa hidup cuma merupakan bayang kehendak seseorang dan kehendak ini merupakan desakan yang tidak bertujuan, tidak rasional dan yang menderitakan. Walau bagaimanapun, beliau menganggapi bahawa penyelamatan, pembebasan ataupun pelepasan daripada penderitaan boleh didapati melalui pentafakuran, simpati kepada orang lain serta penghidupan zahid.

Menurut ahli falsafah Martin Heidegger, manusia dilontar ke kewujudan. Pendukung eksistensialisme menganggapi bahawa pelontaran ini wujud sebelum apa jua pemikiran dan gagasan yang dipunyai manusia atau tafsiran-tafsiran tentang dirinya sendiri yang diciptanya. Sebagaimana yang dikatakan oleh Jean-Paul Sartre: "kewujudan datang sebelum intipati", "manusia wujud terlebih dahulu, menemukan diri, meluru dalam dunia dan kemudiannya baru mentakrifkan diri. Tiadanya sifat manusia disebabkan tiada Tuhan untuk mengkonsepsikannya."

Oleh sebab ketiadaannya sifat manusia yang dipastikan terlebih dahulu atau penilaian terakhir selain daripada apa yang ditonjolkan oleh manusia kepada dunia, manusia cuma boleh dinilaikan ataupun ditafsirkan melalui tindakan-tindakan dan piihan-pilihan mereka. Pilihan merupakan penilai yang terakhir. Sekali lagi Jean-Paul Sartre disebut sebagai berkata: "Manusia tidak merupakan apa-apa selain daripada apa yang dijadikannya kepada diri sendiri".

Pandangan penyokong humanisme

Rencana utama: Humanisme

Bagi penyokong humanisme, tujuan hidup adalah terbina dalam, yakni untuk membiak. Inilah cara bagaimana manusia menjadi apa yang terwujud sekarang: makhluk membiak berturut-turut dalam evolusi tidak berpandu, sebagai sebahagian utama alam semula jadi yang berwujud kendiri. Tujuan hidup adalah tidak sama dengan tujuan manusia walaupun ia merupakan salah satu faktornya. Tujuan manusia diputuskan oleh manusia sendiri tanpa sebarang pengaruh kuasa ghaib. Serupa juga dengan pengetahuan yang bukan berasalnya daripada sumber-sumber kuasa ghaib, tetapi teralir daripada pencerapan, pengujikajian dan analisis rasional, seelok-eloknya melalui kaedah sains: sifat alam semesta merupakan apa yang kita menanggapnya. Begitu juga dengan nilai-nilai etika yang berasal daripada keperluan dan kepentingan manusia yang telah diuji melalui pengalaman.

Kepentingan kendiri yang memakrifatkan merupakan teras humanisme. Hal yang terpenting dalam hidup ialah manusia, dan sebagai pelanjutan, ras manusia dan alam sekitar yang kita hidup. Kebahagiaan seseorang tidak boleh dipisahkan daripada kebahagiaan kemanusiaan pada keseluruhannya. Antara sebabnya, kita adalah makhluk sosial yang memperolehi makna daripada perhubungan-perhubungan serta kerana kemajuan kebudayaan memanfaatkan setiap orang yang hidup dalam budaya itu.

Apabila dunia bertambah baik, kehidupan juga berikut bersama-sama. Sedangkan setiap orang ingin berhidup secara sempurna, pendukung humanisme berpendapat bahawa adalah mustahak bahawa hasrat ini dituju dengan cara yang mempertingkatkan kedudukan semua manusia. Walaupun evolusi spesies manusia merupakan sebahagian besar daripada fungsi alam semula jadi, evolusi kemanusiaan adalah di dalam tangan kita sendiri. Oleh sebab itu, kita bertanggung jawab untuk memajukannya sehingga mencapai idaman yang tertinggi. Dengan cara yang sama, humanisme juga tengah berkembang disebabkan pendokongnya menyedari bahawa nilai-nilai dan idaman-idaman, jadi juga makna hidup, tertakhluk kepada perubahan yang selaras dengan perkembangan pemahaman kita.

Pandangan penihilis

Rencana utama: Nihilisme

Friedrich Nietzsche menyifatkan nihilisme sebagai pengosongan dunia, terutamanya kewujudan manusia, daripada makna, tujuan, kebenaran yang dapat difahami, ataupun nilai-nilai yang terpenting. Istilah "nihilisme" datangnya daripada bahasa Latin, nihil, yang bermakna "tidak ada apa-apa". Nietzsche menyifatkan agama Kristian sebagai sebuah agama nihilisme kerana ia memindahkan makna hidup dari dunia ini kepada apa yang dikatakan hidup selepas mati. Beliau juga menganggapi nihilisme sebagai kesudahan yang semula jadi tentang gagasan ketiadaannya Tuhan, dan berkeras mengatakan bahawa makna hidup harus dipulangkan ke dunia ini.

Martin Heidegger menyifatkan nihilisme sebagai keadaan yang tidak ketinggalan apa-apa mengenai hidup", dan memperdebatkan bahawa nihilisme bergantung kepada nilai hidup sahaja.

Nihilisme menolak segala tuntutan mengenai pengetahuan dan kebenaran, dan menjelajah makna hidup tanpa kebenaran yang dapat diketahui. Walaupun nihilisme bercenderung kepada sifat mudah berputus asa, seseorang boleh mencari kekuatan dan alasan untuk keraian melalui pelbagai hubungan manusia yang unik. Dari segi nihilisme, sumber nilai-nilai moral yang muktamad adalah lebih pada individu daripada kebudayaan atau asas rasional (ataupun asas objektif) yang lain.

Pandangan positivis

Rencana utama: Positivisme logik

Mengenai makna hidup, Ludwig Wittgenstein dan penyokong-penyokong postivisme logik berkata:

"Dari segi bahasa, soalan ini tidak bermakna. Ini disebabkan "makna x" merupakan istilah hidup yang sering dikaitkan dengan akibat x atau maksud x, ataupun dengan sesuatu yang kena diambil perhatian mengenai x, dan sebagainya. Apabila "hidup" dipergunakan sebagai "x" dalam frasa "maksud x", penyataan itu berulang dan menjadi karut."

Dengan kata lain, benda-benda dalam kehidupan seseorang boleh mempunyai makna (kepentingan), tetapi hidup pada dirinya tidak mempunyai makna apabila diasingkan daripada benda-benda tersebut. Dalam konteks ini, kehidupan seseorang dikatakan mempunyai makna (makna kepada dirinya sendiri dan kepada orang lain) dalam bentuk peristiwa-peristiwa disepanjang hidupnya serta kesudahan hidupnya dari segi pencapaian, pusaka, keluarga, dan lain-lain lagi. Tetapi untuk mengatakan bahawa hidup pada dirinya mempunyai makna merupakan kesalahgunaan bahasa kerana apa yang bermakna ataupun yang penting cuma berkaitan dengan sesiapa yang mengalaminya.

Bahasa cuma boleh menyempurnakan jawapan yang bermakna sewaktu ia merujuk kepada alam di dalam alam hidup. Akan tetapi ini tidak boleh jadi kerana sewaktu soalan ini keluar daripada lingkungan bahasa dan melanggari had konteks bahasa, ia menjadi rosak. Jawapan kepada soalan yang rosak merupakan jawapan yang silap ataupun tidak kena mengena.

Ahli-ahli falsafah selain Wittgenstein telah cuba menemui apa yang bermakna di dalam kehidupan melalui penyelidikan kesedaran di dalamnya. Akan tetapi sewaktu ahli-ahli falsafah tersebut cuba mencari tafsiran "Makna Hidup" yang holistik untuk kemanusiaan, mereka menemui kebuntuan oleh model linguistik Wittgenstein.

Positivisme logik menegaskan bahawa penyataan-penyataan bermakna cuma jika ia dapat ditentusahkan. Penyataan-penyataan boleh ditentusahkan cuma dengan dua cara yang berbeza sama sekali:

  • penyataan empirik, termasuknya teori-teori saintifik yang boleh ditentusahkan dengan uji kaji dan bukti; dan
  • kebenaran analisis yang merupakan betul atau salah mengikut tafsirannya.

Selain daripada ini, yang lain termasuknya etika dan estetika tidak bermakna dan tergolong dalam bidang "metafizik". Sebagai kesudahan, falsafah yang sungguh-sungguh tidak boleh terlibat dalam metafizik. Oleh sebab itu, kebebasan bertindak tidak merupakan kenyataan yang tegas oleh penyokong positivisme, sedangkan teleologi merupakan bidang yang terdekat yang dapat ditentusahkan.

Pandangan pragmatis

Rencana utama: Pragmatisme

Ahli-ahli falsahah pragmatisme mencadangkan bahawa lebih daripada kebenaran hidup, kita perlu mencari pemahaman hidup yang berguna. William James memperdebatkan bahawa kebenaran boleh dicipta tetapi tidak boleh dicari. Oleh sebab itu, makna hidup merupakan kepercayaan mengenai tujuan hidup yang tidak boleh bercanggah dengan pengalaman kehidupan seseorang yang bertujuan. Secara am, ini bermaksud: "Makna hidup merupakan tujuan-tujuan yang menyebabkan anda menghargainya." Kepada penyokong pragmatisme, makna hidup, yakni kehidupan anda, boleh ditemui cuma melalui pengalaman.

Pragmatisme adalah aliran fikiran falsafah yang berasal dari Amerika Syarikat pada akhir 1800-an. Pragmatisme disifatkan oleh desakan akibat-akibat, kebergunaan, dan praktikalnya sebagai bahan-bahan kebenaran.

Pragmatisme membantah pandangan bahawa konsep-konsep manusia dan daya fikirnya melambangkan hakikat, dan oleh sebab ini, ia bertentangan dengan aliran fikiran falsafah formalis dan rationalis. Lebih daripada ini, pragmatisme menganggapi bahawa cuma melalui perjuangan organisma yang cerdas dengan persekitarannya bahawa teori-teori dan data dapat memperolehi kepentingan. Walau bagaimanapun, pragmatisme tidak menganggapi bahawa kesemua yang berguna atau praktikal kena dianggapi sebagai yang benar, termasuknya apa-apa yang membantu kehidupan kita pada jangka masa yang pendek; penyokong pragmatisme memperdebatkan bahawa apa yang kena dianggapi sebagai benar merupakan apa yang terbanyak menyumbang kepada kebaikan manusia dalam jangka masa yang panjang.

Pada praktiknya, ini bermakna bahawa bagi penyokong pragmatisme, tuntutan teori kena terikat kepada prosedur penentusahan, yakni seseorang harus berupaya membuat ramalan dan mengujikannya, dan pada akhirnya, keperluan manusia boleh memandukan laluan tanya siasat manusia.

Pandangan penyokong transhumanisme

Rencana utama: Transhumanisme

Transhumanisme merupakan lanjutan kepada humanisme. Serupa dengan humanisme, ia mengajukan bahawa kita harus mencari kebaikan manusia pada keseluruhnya. Tetapi ia juga menegaskan bahawa kita harus memperbaiki badan kita secara aktif melalui teknologi supaya dapat mengatasi had-had biologi seperti kematian, kelemahan fizikal, muatan ingatan, dan sebagainya. Mula-mulanya, ini bermakna kita semua harus menjadi manusia bionik, akan tetapi dengan kemunculan biokejuruteraan, pilihan lain telah disediakan. Oleh sebab itu, tujuan utama transhumanisme adalah untuk menjadikan manusia sebagai posmanusia (posthuman), iaitu waris kepada homo sapiens: homo ekselsior. Pencapaian matlamat yang terunggul ini sudah tentu akan dipergunakan untuk penduduk semasa sebelum mereka mengalami akibat-akibat kematian atau menjadi tua. Pandangan-pandangan yang serupa termasuk ekstropianisme dan ekstensi kehidupan. Oleh sebab itu, dari segi lima tafsiran yang dikemukakan pada permulaan rencana ini, makna hidup bagi penyokong transhumanisme adalah bahawa:

  • hidup berasal daripada evolusi;
  • sifat hidup merupakan apa sahaja yang kita menanggapnya melalui pencerapan saintifik dan pengukuran;
  • manusia, dan apa yang dia akan berkembang terjadi, merupakan hal yang terpenting dalam kehidupan;
  • hal-hal yang paling bernilai dalam kehidupan merupakan keupayaan berbaik dengan orang lain dan pemajuan cara hidup kesemua manusia; adalah sangat penting bagi kita mengawalkan sifat kehidupan untuk memperbaiki sifat-sifat kita.